Friday 17 August 2012


....BANGKITLAH BANGSAKU..

Bumi anbia di dalam tangisan,
 kanak-kanak berlagu sendu mendendangkan irama keresahan,
Jiwa mereka dicengkam kezaliman neraka jahanam zionis,
Sedangkan mereka adalah ahli syurga yang nyata,

Mata para mujahid terkatup rapat,
Jasad kaku dibelenggu si petualang durjana,
sedangkan darah jihad yang terus mengalir masih mekar disanubari,
Gugurnya perwira bukan bermakna kalah,
 Tetapi kerana rindukan haruman taman syuhadah yang lebih indah ,

Demi Tuhan mereka berjuang untuk mempertahankan agama dan bangsa,
Anak watan terus bersatu hati,tenaga dan usaha mengembalikan maruah bangsa yang telah diragut dengan kerakusan nafsu,

Tetapi tidak disini,
 Bukan pada bangsaku…
Hari ini bangsaku di dalam kegelisahan,
Dibelenggu oleh asakkan lasykar nafsu,
Darah kebencian terus mengalir,
 Mencela,menghina dan sanggup meratah daging saudara sendiri,
Tiada toleransi … meninggi diri … susilah diri jauh sekali,

Lupa pada langit yang dijunjung,
Khilaf pada bumi yang dipijak,
Kenyang dengan keringat  yang bakal membakar diri di dalam api kemurkaan,
 Yang senang semakin gembira,
Mata tertutup rapat dari memandang fakir yang kelaparan,
Anak-anak dibiarkan berpeleseran tanpa arah dan tujuan,

Kita sedang mencipta tragedi,
 Disaat  negara berpotensi megah berdiri,
Kita masih ditakuk kemiskinan ilmu dan harga diri,
Sukakah kita robohkan sebuah bangsa yang telah diwarisi berabad lamanya ???
Mahukah kita mencemarkan maruah negara dimata dunia???

Aku Cuma meluahkan rasa yang bergelora di dada,
Meronta menjelaskan apa yang berkelana di mata hati,
Mengapakah begitu ???
Mengapa terjadinya semua ini ???

Aku bukan Bahaman,
Bukan jua Maharaja Lela,
Aku bukan pahlawan yang gagah perkasa,
Aku bukan seperti mereka,
Yang sanggup berputih tulang
Demi menegakkan keadilan bangsa,
Aku hanya manusia biasa,
Ingin menjulang martabat bangsa,
Ingin membebaskan mereka dari sangkar jajahan jiwa,


Justeru bangkitlah !!!
Bangkitlah !!! Bangsaku dari mimpi ngeri,
Berhentilah dari menjadi Jebat yang menentang rajanya sendiri,
Sucikan bintik-bintik neraka yang merajai hati kita,
Teguhkan jati dirimu yang semakin goyah dimamah kepura puraan,

Kembalilah kepada asal dirimu,
Resam dahulu bermati-matian demi mendapatkan sebuah kemerdekaan untuk bangsa tercinta,
Bersatu lah kita  membela nasib bangsa yang semakin parah dipukul kemusnahan tamadun ketimuran,
Sekaligus bergading bahu demi mencapai cita-cita negara,
 Agar kemerdekaan hari ini lebih bererti buat kita

Renungilah bersama…

No comments:

Post a Comment